
Mahasiswa Memacu Kebangkitan Ummah
Monday, October 20, 2008
Isu Pendidikan Islam Anak-Anak
Anak : Perlu Cara Baru?
"Allah suka orang yang solat"
"Kalau kita tidak solat, Allah akan bakar dalam api, panas api tu macam termakan nugget panas,
sakit mulut kan, itu baru sikit belum terbakar lagi?"
Inilah bentuk-bentuk bahasa yang biasa kita cuba gunakan dalam memberikan nasihat kepada
anak-anak kita yang berumur sekitar 4-9 tahun. Tepat tak cara dan bahasa yang digunakan itu
atau terlalu rendah? Atau mungkinkah terlalu tinggi?
MINDA KITA DAN ANAK
Pada kebiasaannya, jika saya tidak menghadiri ceramah atau kuliah maghrib, saya sekeluarga
akan mengadakan tazkirah ahli keluarga. Pada mulanya saya seorang atau isteri yang akan
memberi pengisian kepada anak kami seramai empat orang.
Secara peribadi saya menghadapi sedikit kesukaran untuk memilih ayat dan perkataan yang
sesuai semasa memberikan tazkirah, kerana bimbang anak saya yang berumur 9 dan 7 tahun
gagal menangkap mesej saya.
Namun, setelah berfikir kembali, saya kira ini adalah masalah pertama saya agaknya. Bagi saya
kita tidak patut terlalu merendahkan kemampuan anak untuk memahami sesuatu. Kerana
apabila melihat kertas-kertas jawapan sekolah mereka, saya menjadi kagum pula dengan
kemampuan mereka menjawab soalan yang saya fikir anak berumur 7 tahun tidak mampu.
Mana tidaknya, di zaman saya darjah satu dulu, baru nak belajar " A-Y-A-M" bunyinya ayam ,
" B-O- L-A" ialah BOLA dan lain-lain. Silibus darjah satu hari ini sudah berbeza, sudah semakin
tinggi. Cuba anda buat semakan kertas soalan darjah satu anak anda.
Justeru sebagai ibu bapa, perlu menangkap perbezaan ini jika mereka mahu memahami anak
mereka. Jangan asyik bangga dengan alasan makan garam dulu sahaja.
MASALAH RUMIT MAMPU DIFAHAMI
Pernah banyak kali apabila saya dan isteri berbincang berkenaan masalah yang agak rumit
dengan bahasa yang dikira bahasa orang dewasa, tetapi disampuk dan ditanya oleh anak-anak.
Kami tidak pula sangka mereka memahaminya.
"Ummi, tadi kat sekolah kawan kata mak dia parti xx " kata anak saya berumur tujuh tahun
"Lepas tu kak ngah pun cakap la, mana boleh sokong xx ni, kita kena sokong xxx sebab ..."
ulasnya.
Hmm..angkat kening juga saya
Kami tidak pernah mengajarnya bercakap demikian secara specifik, hanya cakap-cakap umum
di rumah dan perbincangan-perbincangan dengan isteri. Tidak pula saya sangka anak-anak yang
duduk di sekeliling kami sambil bermain-main, waktu yang sama beberapa point termasuk hal
politik juga boleh masuk dalam kepala dan minda mereka. Lebih hebat dari itu, MEREKA
MAMPU MEMBUAT kesimpulan.!
Mungkin ini salah satu perkara yang mana ramai ibu bapa hari ini terlepas pandang. Kita kerap
kali tersilap perkiraan dengan kefahaman anak-anak. Rancangan televisyen yang kita sangka
tidak memberi pengaruh kepada anak (mungkin kerana dijangka kandungan
yang agak tinggi dan bahasa yang agak rumit), kerana hanya beberapa saat adegan
yang tidak baik, rupanya memberi kesan ‘sesuatu' di mindanya. Sebab itu, sebagai ibu dan bapa,
kita wajib mengawal rancangan televisyen yang ditonton, kartun yang dilihat, iklan yang
dipapar. Pastikan remote sentiasa dekat dengan anda.
dapat membuat kesimpulan tertentu. Mereka juga boleh tertekan tanpa disedari oleh ibu bapa.
Justeru, jangan remehkan kemampuan minda anak di zaman ini. Read more...
Isu Politik Islam
| Konfrontasi Amerika & Iran, Di Mana Kesudahannya... | | | |
| Jika kita meninjau akhbar-akhbar mengenai isu Timur Tengah, mahupun di peringkat global. Kita akan dapati terlalu banyak keadaan dibesar-besarkan oleh media tentang isu 2 buah negara gergasi, Amerika dan Iran. Amerika ingin menyerang Iran disebabkan projek nuklear yang cuba dibangunkan oleh negara pimpinan Presiden popular Iran, Mahmud Ahmadi Nejd. Kerana khabar angin mengenai projek nuklear Iran begitu meluas, maka Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) kerap didesak oleh Amerika untuk mengheret Iran ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Amerika berkali-kali menyifatkan pembangunan nuklear oleh negara Iran itu sebagai haram, ironisnya Israel yang juga memiliki sistem pengkayaan nuklear tidak pula dicop haram oleh Amerika. Jika tindakan Amerika itu ibarat kerajaan yang berkuasa, Iran pula merupakan ketua pembangkang paling lantang di dunia. Maka, banyaklah persoalan-persoalan timbul berasaskan kesungguhan Bush untuk menyerang negara yang pernah menjadi salah satu wilayah kerajaan Khawarizmiyyah di era Daulah Abbasiyyah itu. Adakah Iran akan mengalami nasib yang sama seperti Iraq? Adakah Amerika berani menyerang Iran? Adakah Amerika mempunyai plan sulit agar Iran ditumbangkan? Atau Bush mendapat wahyu baharu agar Iran diserang untuk misi ketenteraannya? Bagaimanapun, politik Amerika yang begitu hangat dengan isu pemilihan Obama dan Mccain, yang dilihat sebagai tokoh yang bakal menyelesaikan masalah di Timur Tengah selepas ini. Obama mungkin pilihan dunia kerana beliau berazam mahu membawa pulang tentera Amerika yang beroperasi di Iraq dalam tempoh 16 bulan jika beliau dilantik sebagai presiden. Sebaliknya Mccain dari parti Republikan terus menegaskan bahawa ingin mengekalkan operasi ketenteraan Amerika selama-lamanya di Iraq sehinggalah konflik di Timur tengah itu selesai. Boleh jadi Mccain ingin meneruskan misi Bush yang pernah diiktirafnya sendiri sebagai ‘misi suci’. Dahulu, Bush pernah mengeluarkan kenyataan bahawa siri-siri serangannya di Iraq dan Afghanistan merupakan ‘misi suci’ yang meletakkannya seolah-olah mewakili ‘kuasa baik’ untuk menentang kuasa jahat; “Serangan itu adalah misi suci untuk membawa keamanan Asia Barat, keselamatan untuk Israel dan sebuah Negara untuk penduduk Palestine”, kata Bush. [ Israel and The Arabs: Exclusive Peace ] Setelah Iraq dan Afghanistan, Amerika mula menumpukan ekspedisi jajahannya ke Iran. Banyak faktor mengapa Amerika lebih menumpukan Iran berbanding dengan Korea Utara walaupun General Pyongyang jelas mengakui bahawa Korea bukan sahaja berusaha mengayakan uranium bahkan membangunkan senjata nuklear. Mengapa Iran? Ini bukanlah kali pertama Amerika melakukan serangan dengan tindakan-tindakan provokasi terhadap Iran. Sejak tahun 1998 lagi, Iran telah diancam dengan sekatan ekonomi atas alasan bahawa Negara tersebut cuba membangunkan program nuklear secara haram menurut Bill Clinton. Rahsia-rahsia Amerika kemudiannya semakin menampakkan kudisnya, kita maklumi di Asia Barat mempunyai lebih banyak kepentingan Amerika berbanding dengan Asia Timur kerana kedudukan sumber minyak yang besar di Teluk Parsi. Inilah matlamat utama, mengapa Amerika mahupun Israel bersungguh-sungguh mahu mendapat keizinan masyarakat dunia agar mereka boleh menyerang Iran. Iran merupakan negara yang mempunyai rizab simpanan minyak dan gas yang terbesar di dunia. Namun, kemungkinan-kemungkinan lain pula akan timbul dalam politik dunia abad ini jika Iran diserang Amerika. Kemungkinan-kemungkinan ini memaksa segala persoalan di kepala, untuk kita terus sangsi tentang kesungguhan Amerika ke atas Iran yang tentunya merugikan banyak aspek. Kita perhatikan analisis-analisis ini, agar kita mampu berfikir bahawa Amerika sama sekali tidak akan menyerang negara Ahmadi Nejd; 1) Amerika bukanlah terlalu jahil untuk membuka ruang konfrontasi dengan jarak yang terlalu lebar dengan Iran. Amerika tentu akan membersihkan Iraq dari tentera-tenteranya sehingga masalah yang timbul di sana, seolah-olah telah selesai pada anggapan orang ramai dan pemerhati-pemerhati politik dunia. Kerana itu akhbar baru-baru ini melaporkan Amerika melarang Israel untuk menyerang Iran, selagi mana tentera Amerika masih berada di Iraq. Amerika dilihat tidak berkeinginan untuk menyerang Iran disebabkan faktor-faktor kebuntuan ekonomi dan ketidakseimbangan politiknya, sekalipun kem tenteranya di Iraq berupaya menggusarkan Tehran. Jika dahulu tentera Amerika hanya berada di negara-negara Teluk Parsi khususnya di Kuwait, Qatar dan Arab Saudi. Tetapi kali ini keseluruhan Iraq merupakan ruang bebas bagi tentera Amerika. Ini bermakna, Amerika mempunyai ruang bebas dan terbuka untuk menyerang Iran. Namun, tembelang politik Bush setelah Amerika berada di Iraq cukup merumitkan. Tempoh tentera Amerika di Iraq pula bergantung kepada siapa yang bakal menang pilihan raya Presiden pada Novembar ini. Sama ada presiden yang bakal menerajui politik Iraq itu pro-Israel atau tidak, Amerika telah lama sedar bahawa mereka tidak boleh melihat Iran negara politik yang lemah seperti Iraq untuk ditumbangkan. 2) Jika Amerika menyerang Iran, ia akan merapatkan lagi jurang yang berlaku antara Sunnah dan Syiah. Negara-negara Sunnah tentunya akan menyokong negara Syiah itu, jika mereka diserang Amerika. Kerana dalam peperangan ini Bush akan mewakili Barat, dan secara tidak langsung Ahmadi Nejd mewakili Islam. Perpecahan dua aliran antara Sunni dan Syiah tentunya menguntungkan Israel dan Amerika, sementara perpaduan kedua-dua aliran mazhab Islam ini menjadi impak yang sangat negatif kepada kelangsungan imperialisme Barat di negara-negara Islam. Siri-siri perpecahan ini dibayangi tragedi di Iraq sebagai satu pertempuran antara Sunnah dan Syiah yang dahsyat dan tidak pernah berlaku dalam sejarah Islam. Amerika hanya goyang kaki manakala Sunnah dan Syiah terus bertengkar denga genjatan senjata sesama mereka. Setelah isu pergolakan yang berlaku di Iraq semakin jelas kerana terdapat pengkhianatan ‘orang ketiga’ dan masing-masing tahu kesan buruk yang berlaku terhadap umat Islam (apabila Sunnah dan Syiah di Iraq berkelahi). Ulama-ulama mereka sama ada dari aliran Sunni ataupun Syi’ie mula menegaskan perkara untuk bersatu. Jika serangan dilakukan tentunya ia bukanlah masa terbaik malah memberikan kesan negatif kepada Amerika. Hal ini bertepatan dengan saranan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika merasmikan Persidangan Pertubuhan Negara Islam (OIC) pada 11 Oktober 2003 ; “Ubat untuk negara Islam menghadapi tekanan dan kecaman dari Barat adalah penyatuan dalam kalangan umat Islam. Jika kebanyakan umat Islam yang sering bercakaran berjaya disatukan, tentu sekali kuasa Barat tidak mampu berbuat apa-apa”. 3) Amerika pernah melakukan percubaan militer terhadap Iran ini pada tahun 1980 M dengan tujuan melepaskan tawanan tentera Amerika di sana atas tuduhan menjadi perisik kepada Amerika. Bagaimanapun percubaan Amerika tidak berjaya, malah Amerika pernah mengalami kekalahan teruk di tangan Iran di dalam peristiwa yang berlaku di gurun Tabas. Badai dahsyat tiba-tiba menyerang helikopter milik Amerika sehingga menyebabkan ia saling berlanggar dan akhirnya terbakar. Peristiwa pelik itu menyebabkan ramai prajurit Amerika mati, sementara yang lain melarikan diri dan keluar meninggalkan wilayah Iran. Peristiwa ini pernah diceritakan semula oleh al Marhum Sheikh Ahmed Deedat, pendakwah yang digeruni missonari Kristian dalam perdebatan umum. Sheikh Ahmad Deedat memberitahu peristiwa di Tabas ketika persidangan Kesatuan Sunni dan Syiah (Sunni-Shia Unity) pada 3 Mac 1982 di Iran , kata Sheikh Ahmed Deedat ; [ Ingatkah kamu tentang peristiwa Tabas? Peristiwa di mana orang-orang Amerika ingin menyelamatkan tawanan. (Amerika) bangsa paling gagah dengan kepesatan teknologi yang telah berada di puncak kemajuan dunia, suatu bangsa yang dapat mendarat di bulan dan membawanya mereka kembali ke bumi, mereka juga telah menghantar kapal angkasa tanpa pemandu (probe) ke planet Marikh dan Jupiter. Satu bangsa yang memberi amaran kepada Pakistan tentang tragedy ombak air pasang tetapi (orang Pakistan ketika itu) tidak pedulikan. Mereka juga telah memberi tahu kepada Israel mengenai pergerakan Arab pada tahun 1973 tetapi mereka juga tidak mempedulikan amaran itu. Bagaimanapun, bangsa ini tidak dapat mendarat di Iran. Bayangkan mereka menuju ke sana menaiki helicopter tetapi berlaga sesama sendiri. Bayangkan, mereka mampu mendarat di bulan dan dapat kembali semula ke bumi tetapi mereka tidak dapat mendarat ke Iran. Ketiak itu bangsa Iran tiada apa-apa persedian dilakukan mereka untuk menghadapi Amerika ketika itu. Orang Amerika (dengan teknologi canggih) boleh sahaja pergi dan melakukan apa-apa sahaja yang mereka ingini. Saya telah menyaksikan Kedutaan Amerika di Tehran dan kamu akan lihat ia merupakan bangunan yang besar. Mereka dengan senang boleh menyelamatkan orang-orang ini dengan helikopter keluar walau kehilangan sedikit nyawa. Mereka mampu capai matlamat rancangan itu yang sememangnya begitu taktikal. Tetapi kamu tahu apa yang berlaku? Ia sebenarnya gagal sama sekali! Pengunduran mereka gagal. Lalu berita ini dikhabarkan kepada Imam Khomeini tentang apa yang berlaku, lantas beliau tidak menyebut SubhanaLlah (Maha Suci Allah) dan tidak juga menyebut Alhamdulillah (segala puji bagi Allah). Kamu tahu apa yang beliau katakan? Beliau memetik ayat al Quran (surah al Fiil ayat 1); “Apakah kamu tidak melihat apa yang Tuhanmu buat terhadap pemilik (tentera) bergajah?”, inilah ayat yang terbit daripadanya. Saya katakan beliau ini memang seorang yang Quranik ]. 4) Bukan mudah merancang serangan di negara yang benar-benar memiliki kelengkapan nuklear seperti Iran. Amerika sedar bahawa Iran benar-benar mempunyai kekuatan tersebut, bukannya ilusi seperti dakwa-dakwi media tentang projek persenjataan Iraq pada tahun sebelum Saddam digantung. Kerana keupayaan Iran, negara ini pastinya tidak teragak-agak untuk menggunakan nuklear sebagai senjata jika mereka benar-benar diserang. Peluang tersebut pula tentunya akan digunakan Iran untuk menyerang rakan baik Amerika iaitu Zionist-Yahudi yang dianggap sebagai sekutu yang boleh dipercayainya di Asia Barat. 5) Hubungan diplomatik yang mantap. Iran tidaklah seperti Korea Utara atau Iraq yang mempunyai masalah dalam hubungan diplomatic. Iran sebenarnya memiliki kedudukan kukuh dari segi diplomatik khususnya dari Pertubuhan Negara Rantau Teluk (GCC) serta dari Pertubuhan Negara-Negara Berkecuali (NAM). Semasa tuduhan Amerika mengenai persenjataan nuclear yang berpangkalan di Iran, Iran bersifat terbuka memberikan kerjasama dengan IAEA, Britain, Perancis dan Jerman untuk membuat pemeriksaan di semua loji nuklear milik Tehran. Kerana itu, Iran berani mencabar Amerika bukan dari segi retorik sahaja tetapi secara eksekutif. Jika Amerika berjaya mengheret Iran ke Majlis Keselamatan PBB sekalipun, Amerika sekali lagi terpaksa berhadapan dengan 2 buah kuasa veto lain seperti China dan Russia yang mempunyai hubungan baik dengan Iran sekarang ini (2008). Ketika Amerika di bawah pentadbiran Clinton, Amerika pernah meletakkan peraturan sekatan bagi syarikat asing yang melabur di dalam sektor minyak dan gas Iran. Walau bagaimanapun, peraturan tersebut tidak berjaya apabila Britain sendiri membantah cadangan Amerika itu. Ini kerana, terdapat syarikat Britain iaitu Royal Dutch Shell yang terlibat secara besar-besaran dalam pembangunan lembangan minyak dan gas Iran. 6) Sejarah telah membuktikan, kerajaan Safawi (Syiah) tidak memerangi Perancis dan Russia, bahkan bersama Hapsburgs memerangi kerajaan Islam Uthmaniyyah. Begitu juga kerajaan Syiah Iran, tidak memerangi negara komunis seperti Soviet, bahkan merampas kekuatan mujahidin di Afghanistan. Andai kita meneliti kronologi-kronologi sejarah perjuangan Syiah di Iran ini, mereka tidak pernah bersungguh-sungguh untuk memerangi kejahatan seperti Yahudi mahupun Amerika KECUALI apa yang pernah berlaku saudara semazhab mereka di Lubnan iaitu HizbuLlah. Kebangkitan HizbuLlah begitu mengejutkan negara-negara yang beraliran Sunni, apatah lagi yang beraliran keras dalam mengamati isu ini secara sejagat. Ada yang menyambut baik kemunculan HizbuLlah, tidak kurang juga ada yang meperkecilkan peranan mereka yang bertungkus-lumus membela masyarakat Islam di Lubnan sama ada yang beraliran Sunni mahupun Kristian (non-Muslim). Usaha HizbuLlah ini pernah dipuji oleh Dr.Yusuf al Qardhawi yang sekaligus meleburkan jurang perbezaan antara Sunni dan Syi’ie. Satu kejutan juga yang dilakukan oleh Dr. Yusuf al Qardhawi, dalam menjayakan usaha integrasi Sunnah dan Syiah ini beliau telah mengarang 2 buah buku yang berjudul ‘Mabadi’e fi al Hiwar wa Taqrib bayna al Mazahib al Islamiyyah’ dan ‘Kalimaatun Soreehaatun fi at Taqrib bayna al Mazahib aw al Firaq al Islamiyyah. Buku-buku beliau merupakan kesungguhan beliau yang menjawab seluruh golongan anti-ikhtiar, sinis dan skeptis terhadap prakarsa pendekatan Sunni dan Syiah (Syi’ie). Sekarang bukan masanya kita mengagung-agungkan dan bertengkar tentang apakah negara yang lebih Islamik, adakah Iran atau Arab Saudi? Siapa yang lebih wara’, adakah Ahmadi Nejd atau Sheikh Muhammad Saed at Tantawi? Tidak habis-habisan berpolemik tentang keganjilan aqidah Ibn Taymiyyah dan Khomeini atau masing-masing saling tuduh-menuduh, di sana al Ahbash dan di sini Wahabi! Sebaliknya, umat Islam perlu mencari peluang untuk bersatu sebagaimana formula kesatuan yang dipopularkan as Syahid Imam Hassan al Banna ; نتعاون فيما اتقفنا ويعذر بعضنا بعضا فيما اختلفنا فيه [ Kita bersatu di atas perkara-perkara yang dipersetujui dan kita bertolak ansur dalam perkara-perkara yang tidak disepakati ]. |
Isu Negara Islam
Islam & Demokrasi
Sebuah Hadith menyatakan :
الحكمة ضالة المؤمن فحيث وجدها فهو أحق بها
Mafhum : "Kebijaksanaan adalah seperti barang tercicir bagi umat Islam, lalu dimana muslim
menjumpai kebijaksaan, maka mereka yang paling layak untuk mengambilnya"
Islam sentiasa berpendirian terbuka dalam setiap pekara-perkara baru, penelitian yang
terperinci akan dilakukan bagi memastikan adakah ia terkandung dalam bidang hukum haram,
halal, harus atau sebagainya. Antara dalil sokongan yang membuktikan bahawa Islam menuntut
penelitian dan penerimaan dibuat terhadap sesuatu idea baru (sebelum menerima dan
menolaknya), walaupun ia datang dari luar Islam adalah seperti berikut :-
1) Pengakuan dan pengesahan Nabi SAW terhadap anjuran Syaitan kepada Abu Hurairah r.a
agar membaca Ayat Kursi bagi mengelakkan diri dari gangguan Syaitan. Nabi bersabda :
صدقك وهو كذوب ذاك الشيطان
Ertinya : “Ia telah berkata benar, pdahal ia terlalu amat banyak berbohong , itulah Syaitan”
Justeru, dalam masalah sistem pemerintahan cara demokrasi yang merupakan kaedah
pemerintahan yang sangat meluas kini. Sebarang penerimaan atau penolakkannya mestilah
merujuk kepada intipati system tersebut. Berikut adalah perbincangan ringkas mengenainya:
CIRI UTAMA DEMOKRASI DAN PENDIRIAN ISLAM TENTANGYA
1) Pemerintah dari kalangan rakyat.
Asas ini diterima oleh Islam sebagaimana Sabda Nabi SAW :
خيارأئمتكم الذين تحبونهم ويحبونكم وتصلون عليهم ويصلون عليكم وشرار أئمتكم الذين تبغضونهم ويبغضونكم وتلعنونهم و يلعنونكم
Mafhum : Sebaik-baik pemimpin kamu adalah mereka yang kamu sukai, dan mereka( pemimpin) juga menyukai kamu, kamu mendoakan mereka, begitu juga mereka, manakala seburuk-buruk pemimpin adalah mereka yang kamu benci dan mereka juga benci kepadamu, kamu melaknat mereka, mereka juga melaknat kamu” (Riwayat Muslim)
Begitu juga dengan hadith
ثلاثة لا ترتفع صلاتهم فوق روؤسهم شبرا..وذكر أولهم..( رجل أم قوما وهم له كارهون) - رواه ابن ماجه
Mafhum : “Tiga kumpulan yang tidak diangkat solatnya walapaun sejengkal di atas kepala mereka, …disebut pertamanya, lelaki yang mengimamkan kaum, dalam keadaan kaum membencinya”
Jelas dari hadith tadi, Islam juga menitik beratkan kepimpinan rakyat yang disukai oleh rakyat,
justeru realiti semasa bagi mengetahui kesukaan rakyat kepada seseorang pimpinan adalah
melalui kaedah pengundian.
2) Pemerintah bekerja untuk rakyat.
Pemerintah bekerja untuk kebaikan rakyat. Ciri ini juga telah diterima oleh Islam sebagaimana
konsep kepimpinan dalam Islam, dimana pemimpin hakikatnya menjadi petugas yang bersusah
payah bagi kebaikan rakyat. Di sebut di dalam sebuah Hadith :
سيد القوم خادمهم
Mafhum : “Pemimpin kaum adalah org yang berkhidmat (khadam) bagi kaum.”
Khalifah Abu Bakar as-siddiq, berkata : Wahai manusia, aku bekerja untuk keluargaku maka
aku mencari penghasilan untuk makanan mereka, sekarang aku bekerja untuk kamu, maka
tetapkanlah buatku dari Baitul Mal kamu” [7]
3) Suara majoriti adalah terpakai.
Asalnya Islam tidak meletakkan suara majoriti sebagi pemutus dalam semua pekara. Ia tidak
tepakai dalam perkara-perkara thawabit . Perkara thawabit juga tidak boleh berubah menuru
zaman dan masa, ia adalah perkara yang mesti dilakukan serta tiada ruang ihtimal. Manakala
perkara mutaghayyirat adalah perkara dari Nusus Zanniyyah seperti Nas umum (menurut
jumhur), lafaz bersifat Mutlaq terutamanya dalam perkara ijtihadiyyah dan baru serta
perkara-perkara bersifat strategi kepimpinan dan politik yang tiada nas qati’e.
Firman Allah SWT :
وإن تطع أكثر من في الأرض يضلوك عن سبيل الله إن يتبعون إلا الظن وإن هم إلا يخرصون
Mafhum : “Sekiranya kamu mentaati majority di atas muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkan kamu, mereka tiada menurut kecuali sangkaan…” ( Al-An’am :116)
Justeru, Islam menerima suara majority dalam hal ‘mutaghayyirat’ tetapi dengan syarat-syarat
tertentu, menurut keadaan dan maslahat seperti hanya undian di kalangan ‘ ahl al-hal wal
al-‘aqd ’ atau dalam menentukan bentuk-bentuk tindakan dan bukannya bersifat hukum. Juga
dalam urusan melantik pimpinan atau juga urusan kemaslahatan rakyat seperti membina lebuh
raya dan menetapkan cukai tol.
Ini bermakna unsur ini juga diterima oleh Islam, cuma dalam ruang lingkup yang terhad, ini
kerana aqal manusia tidak mampu mengetahui seluruh kebaikan untuk manusia, hanya Allah
swt yang mengetahui kebaikan sebenar untuk manusia. Perlu di ingat bahawa Allah tidak
menafikan fungsi aqal dalam menentukan tindakan terhadap perkara baru selagi mana tidak
melanggar nas atau ‘maqasid syariat’.
4) Rakyat diberi hak kebebasan sewajarnya.
Islam juga mengiktiraf kebebasan individu samada dalam menegur pemerintah, kerjaya yang
halal, beragama dan mengamalkan, pemilikan harta dan banyak lagi. Bagaimanapun demi
menjaga ketenteraman manusiawi samada rohani dan jasmani maka kebebasan yang dianjur
oleh Islam mempunyai batasannya. Secara ringkas batasannya terkandung dalam 5 perkara
dharuriyyat,
i. Aqidah : Bermakna disekat kebebasan bagi keluar atu menggugat aqidah Islam samada
murtad atau memerangi Islam. Juga tidak dibenarkan merosakkan aqidah umat.
ii. Nyawa : Kebebasan Islam tidak membenarkan membunuh tanpa hak, membunuh diri,
menyakiti individu lain tanpa hak, maka tidak dibenarkan juga menyerang sesama manusia
tanpa sebab.
iii. Aqal : Kebebasan Islam tidak membenarkan umatnya merosakkan aqalnya samada dengan
meminum arak, dadah atau apa jua yang memabukkan, tidak juga bebas melihat atau
melakukan sesuatu yang boleh merosakkan aqal.
iv. Keturunan/Maruah: Kebebasan Islam juga tidak membenarkan mencabul kehormatan
sesama manusia, tidak juga dibenarkan berzina, menuduh zina tanpa saksi, mengumpat,
memfitnah, dan mencari-mancari kesalahan manusia.
v. Harta : Kebebasan Islam tidak membenarkan merampas harta, curi, rompak, memeras,
menipu, menindas secara riba dan seumpamanya.
Lalu, secara teori umum, Islam menerima kaedah ini tapi diperincikan bersama
pengecualian-pengecualian demi kemaslahatan manusia.
5)Rakyat berhak menegur kepimpinan yang silap serta berhak menjatuhkannya.
Item ini jelas, bertepatan dengan Islam, ia bertitik tolak dari kepimpinan adalah amanah dan
tangung jawab, sebarang penyelewengan mesti ditegur oleh rakyat. Rasulullah sendiri
menerima pandangan dann teguran para sahabat dalam beberapa persitiwa yang terkenal
antaranya, teguran Al-Habbab Ibn Munzir dalam menentukan kubu terbaik dalam peristiwa
perang Badar, begitu juga teguran suad dalam kes ditolak dengan busar oleh Rasul dan banyak
lagi.
Jelas di atas tahap untuk kesabaran dan tindakan yang perlu diusahakan oleh individu Islam
terhadap pemerintah mereka yang terang-terang melakukan maksiat serta menggalakkannya.
Dalam hal ini, pilihanraya adalah salah satu medan yang terbuka demi menunaikan tanggung
jawab tersebut. Saya tidak mengtaakan ianyaa adalah satu-satunya jalan, tetapi ia adalah salah
satu jalan yang boleh diguna pakai demi mencapai matlamat besar Islam.
Sunday, October 19, 2008
Isu Undang-Undang Islam
Selaku seorang Muslim yang meletakkan Islam sebagai Jalan Hidup saya, di atas semangat “Ad-Din itu nasihat’, maka saya ingin memberikan pendapat dan kritikan terhadap Majlis Peguam Negara, sebagai respon terhadap kontroversi Forum “Memeluk Islam” baru-baru ini.
1) Saya ingin menyatakan kepada Majlis Peguam Negara bahawa isu yang ingin dibawa merupakan isu yang melibatkan perundangan dan hukum hakam Islam, dan ianya tidak boleh diperbincangkan di luar konteks tersebut, apatah lagi oleh mereka yang tidak mendalami hukum hakam Islam menurut disiplin ilmu yang teratur. Malah, isu tersebut adalah salah untuk dibincangkan menurut sisi pandang common law yang penuh dengan kelompangan dan jauh daripada sumber asal perundangan Islam.
2) Saya berpendapat bahawa Majlis Peguam Negara tidak memahami bahawa Islam meletakkan perbuatan keluar dari agama Islam sebagai jenayah yang mesti dicegah, maka tidak boleh menyamakan Islam dengan agama lain, kerana agama lain tiada undang-undang sebegitu. Perbuatan membincangkan isu tersebut seolah-olah mahu meletakkan Islam sebagai pesalah kerana kononnya melanggar kebebasan manusia adalah wajib ditentang oleh Ummat Islam yang memilih Islam sebagai jalan hidup mereka.
3) Saya ingin menyatakan kepada Majlis Peguam Negara bahawa Islam itu berdiri diatas ilmu dan kefahaman, dan bukan nafsu atau perasaan semata-mata, kerana itulah manusia tidak dipaksa memeluk Islam, tetapi mereka dibimbing, diajak berfikir sehingga mereka meyakini kebenaran Islam diatas kefahaman, begitulah juga bagi Muslim yang ingin murtad, mereka akan dibimbing semula dan bukan terus dikenakan hukuman hudud.
4) Saya ingin menyatakan kepada Majlis Peguam Negara bahawa kebebasan itu perlu diuruskan dengan bijaksana tanpa menjadikan ia sebagai lesen untuk melakukan offence kepada pihak lain. Saya memilih untuk berpendirian bahawa kebebasan tidak boleh menggadaikan kebenaran, malah ia bakal dipertanggungjawabkan ke atas saya di Mahkamah Akhirat kelak.
5) Saya amat mengalu-alukan sumbangan Majlis Peguam Negara dalam meneruskan usaha menegakkan kebenaran dan keadilan di Malaysia, kerana mungkin dalam beberapa perkara, kita berbeza pendapat, tetapi dalam banyak perkara, kita sepakat untuk menegakkan kebenaran dalam mewujudkan sebuah Malaysia yang Baru.
Saturday, October 18, 2008
Isu Akidah Islam
Hukum Bedah Plasik&Botox
Isu Botox telah dibincangkan dan diftawakan oleh Jawatankuasa Fatwa (JKF) Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Muzakarah mereka kali ke-74 bermula pada 25 hingga 27 Julai 2006 telah memutuskan bahawa suntikan Botulinum Toxin Type A atau nama komersialnya Botox adalah haram digunakan kerana ia didapati mengandungi bahan-bahan yang meragukan dan bersifat najis.
Bagaimanapun, ada pihak yang cuba untuk mempertikaikan keputusan itu dengan mengatakan bahawa bahan yang digunakan untuk menghasilkan botox hanya protein, malah bukan protein daripada binatang yang diharamkan, tetapi mungkin namanya melambangkan seolah-olah ia daripada sesuatu yang kotor.
SEBAB UTAMA BOTOX HARAM
Bagaimanapun isu utama yang menyebabkan ia menjadi Haram pada pandangan Shariah adalah :-
a) Unsur najis dan kotoran di dalam bahan BOTOX ; kajian mendapati botox atau Botulinum Toxin Type A antara lain mengandungi bahan daripada babi, selain wujudnya bahan tiruan yang boleh mendatangkan mudarat.
Dalam Islam, terdapat dalil yang menyebut "Tidak boleh mendatangkan mudarat dan tidak boleh pula membalas mudarat"
b) Pengubahan Ciptaan Allah Tujuan Tambah Kecantikan : Isu mengubah ciptaan Allah SWT terhadap diri seseorang. ISLAM melarang keras sebarang pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan cantik atau lebih cantik selain bertujuan kosmetik. Bagaimanapun jika ia dilakukan dengan tujuan perubatan akibat kemalangan dan kecacatan, ianya adalah harus dilakukan. Jelasnya, tujuan yang dibenarkan adalah bagi memperbaiki organ tubuh yang rosak akibat trauma kemalangan selain untuk mengembalikan kecacatan kepada kejadian tubuh manusia normal. Dalil yang mengharamkan pembedahan plastik untuk tujuan selain kesihatan adalah berdasarkan ayat 117 hingga 119 surah al-Nisa' .
Ulama tafsir memiliki tiga pendapat mengenai takrifan ‘mengubah fitrah kejadian dan apa jua yang sudah ditetapkan Allah' iaitu mengubah bentuk tubuh dan organ haiwan serta manusia; mengubah tugas atau fungsi sesuatu seperti menjadikan batu atau matahari sebagai tuhan dan mengubah syariat Islam iaitu menghalalkan yang diharamkan Allah serta sebaliknya
Jelas, bahawa pemakaian botox amat mampu mempengaruhi seseorang itu agar mempercayai adanya kuasa lain selain kuasa Allah. Ini juga telah diharamkan melalui hadith-hadith yang sohih sebagaimana pengharaman kepercayan kepada tangkal dan menggantungnya.
Pemakai botox akan mula percaya dan seterusnya bergantung kepada botox digunakan dalam kehidupan hariannya. Ketika itu, jelas mereka dalam keadaan syirik dan menanggung dosa besar.
Islam tidak menghalang umatnya kelihatan cantik, malah menggalakkan umatnya menghias diri, namun ia perlu mengikut cara dibenarkan dan tidak membabitkan perbuatan syirik seperti memakai susuk mahupun pembedahan plastik dan botox.
KESIMPULANNYA
Botox atau pembedahan• plastik yang dibenarkan ialah jika tidak dilakukan akan mendatangkan mudarat kesihatan kepada individu, mengembalikan kecacatan kepada bentuk kejadian manusia normal. Manakala susuk tidak dibenarkan sama sekali.
Tujuan yang tidak• dibenarkan adalah untuk kelihatan lebih cantik dari apa yang dianugerahkan, pembedahan mendatangkan lebih bahaya dan memudaratkan.
Syarat pembedahan kosmetik• dibenarkan Islam: memiliki keperluan tidak bercanggah syariat untuk melakukan pembedahan; untuk tujuan kesihatan semata-mata dan tiada niat lain; mesti diakui doktor Islam dan pakar dalam bidang itu; doktor yakin pembedahan boleh berjaya dilakukan tanpa risiko bahaya dan mudarat; mendapat persetujuan pesakit dan wali.
Peraturan umum kecantikan• Islam: tidak mengubah ciptaan Allah; tidak memudaratkan diri seperti kesakitan pada tubuh atau bertambah beban kewangan; tiada unsur penipuan atau untuk membanggakan diri; tidak membazir; tiada unsur najis; tidak menyerupai jantina berlainan; tidak menyerupai orang kafir dan fasik; wanita hanya berhias untuk suami dan mahramnya saja; mengikut syarat pembedahan kosmetik dibenarkan Islam.
Jika botox itu menggunakan bahan suci sekalipun, ia tetap haram kerana dua ‘illah ( sebab utama) pengharaman masih ada.
Friday, October 17, 2008
Isu Ekonomi Islam
Beza Akaun Islam Dan Konvensional Dalam Konteks Semasa
Kita telah mengenali Riba kontemporari dalam produk pinjaman pelbagai dalam penulisan yang
lalu, kali ini kita meninjau bentuk Riba kontemporari yang seterusnya dalam produk akaun
pelaburan dan simpanan pula.
Bagi menjelaskan bentuk kedua bagaimana riba berlaku, contohnya adalah seperti berikut :-
Ia berlaku apabila pelanggan meletakkan wangnya di dalam akaun :-
1) Akaun Pelaburan Dengan Pulangan Tetap (Fixed Deposit account).
2) Akaun Simpanan Biasa (Ordinary Saving account).
Akaun Pelaburan Dengan Pulangan Tetap (Fixed Deposit account).
Dalam akaun jenis pertama ini, Individu A meletakkan wangnya di dalam “conventional fixed
deposit account”. Menurut kontrak dan perjanjian yang di tandatangani, pihak pengendali/Bank
akan mengumpulkan wang individu A tadi bersama dengan wang depositor atau pelabur lain.
Kemudian, kumpulan wang itu akan digunakan samada bagi pelaburan wang terus ke dalam
mana-mana syarikat yang kukuh bagi mendapatkan pulangan yang baik ataupun digunakan
untuk memberikan pinjaman secara riba kepada syarikat-syarikat yang datang kepada Bank
untuk tujuan perniagaan mereka, samada perniagaan itu halal mahupun haram.
Sebagai imbalan kepada para pelabur atau penyimpan, pihak bank akan menetapkan kadar
faedah tertentu (fixed interest) sebagai contoh 3 % untuk diberikan kepada penyimpan @
pelabur (tambahan ke atas wang modalnya) bagi suatu tempoh selama matang antara 1 – 11
bulan, kadar faedah adalah menurut budibicara pihak pengurusan bank. Pada kebiasaannya
Bank telah pun membuat kira-kira bagi menentukan kadar interest yang ingin diberinya.
Ingin ditegaskan di sini bahawa, menurut Shariah, kadar 3 % dari “fixed deposit account” tadi
adalah Riba Ad-Duyun dari jenis Al-Qard. Ini adalah kerana, disiplin pelaburan ( iaitu
Mudarabah atau Musyarakah) menurut Islam, pulangan keuntungan tidak boleh di tentukan
sama sekali peratusannya. Hanya nisbah pembahagian keuntungan yang dibenarkan. Seperti 70 : 30 ( Bank : pelanggan).
Akaun Simpanan Biasa (Ordinary Saving account).
Manakala dalam Akaun Simpanan Konvensional (Ordinary Savings Account) pula. Sekali lagi
terdapat Riba secara pasti. Ini kerana bank akan memberikan kadar faedah tetap sekitar
0.1-0.2 %. Dalam keadaan ini, Bank pula dikira meminjam wang dari pelanggan untuk digunakan
bagi tujuan pelaburan kecil-kecilan, dan si pelanggan di anggap seolah-olah telah menawarkan
pulangan tetap atas pinjaman (simpanan) yang diberikan oleh pelanggan kepada Bank itu,
hasilnya; Bank mesti membuat pembayaran tambahan (faedah) menurut kadar yang telah di
tetapkan tadi walau dalam keadaan apa sekalipun. Sekiranya Bank mendapat untung yang amat
lumayan hasil penggunaan wang simpanan tadi, bank tetap hanya perlu membayar kadar kecil
tadi, maka pelanggan pastinya dikira rugi. Sebaliknya, sekiranya bank menghadapi kerugian,
Bank tetap perlu membayar kadar interest itu tanpa mengira sama ada ia akan menambah
beban kerugiannya atau tidak. Maka, kerugian Bank pasti bertambah dan membebankan.
Justeru, penindasan berlaku dalam kedua-dua bentuk simpanan dan pelaburan konvensional di
atas, sama ada kepada bank (apabila rugi tapi perlu membayar faedah Riba) atau pelanggan
(apabila untung tapi hanya mendapat nisbah kecil).
Dalam pengurusan akaun secara Islam, suasananya adalah berbeza sama sekali, dimana semua
pelanggan yang menyimpan wang di Islamic Akaun Islam ini boleh memilih sama ada ingin
menggunakan:-
a) Akaun Simpanan atas asas Wadi’ah (simpanan biasa tanpa menggunakan konsep mudharabah);
Dalam kontrak ini, pihak bank akan memastikan semua jumlah wang simpanan pelanggan
adalah sentiasa selamat dan boleh di keluarkan pada bila-bila masa oleh pelanggan. Bagi
memanfaatkan dan menanggung kos pengurusan simpanan ini, pihak pengurusan Bank-bank
Islam biasanya akan menggunakan wang tersebut untuk tujuan pelaburan yang halal sahaja,
tetapi pihak Bank akan menjamin pelanggan boleh mengeluarkan wnagnya pada bila-bila masa
serta akan menanggung segala kerugian jika berlaku. Sebagai menghargai pelanggan yang
menyimpan wang ini sehingga membolehkan pihak Bank menjalankan operasi ekonomi dan
perniagaan Islam, maka jika terdapat untung, pihak Bank akan memberikan hibah (hadiah
sejumlah wang) kepada penyimpan sebagai tanda penghargaan.
Bagaimanapun jumlah dan kadar hibah adalah terpulang kepada budibicara bank sepenuhnya,
cuma ia mungkin berubah-ubah menurut prestasi pelaburan yang dibuat oleh Bank. Sekiranya
hasil pelaburan menggalakkan, maka kebiasaannya penyimpan akan di beri “hibah” yang agak
baik. Jika pelaburan mengalami kerugian, pihak penyimpan tidak akan mendapat sebarang
hibah, wang simpanan mereka juga tidak akan berkurangan. Ini lebih adil kerana ;
· Pelanggan berpeluang mendapat hibah dalam keadaan wang simpanannya terjamin/tanpa
risiko hasil pelaburan. Jumlah dan kadar hibah adalah sepenuhnya terpulang kepada budibicara
bank. Bagaimanapun, biasanya pihak bank akan memberikan kadar hibah yang tinggi sedikit jika
keuntungan diperolehi, demi menggalakkan minat pelanggan.
· Bank juga tidak terpaksa membayar apa-apa kepada pelanggan jika tiada keuntungan. Justeru
bank tidak teraniaya sama sekali berbanding Bank Konvensional.
· Tiada sebarang Riba terbabit di dalam akaun ini dan semua pelaburan yang dibuat adalah
setelah dipastikan memenuhi kehendak Shariah.
b) Akaun Simpanan atas asas Mudarabah (perkongsian untung):
Satu lagi produk di dalam pengamalan kewangan Islam di Bank-bank Islam adalah simpanan
yang menggunakan konsep Mudharabah. Ia bermaksud pihak pelanggan ingin menyimpan
wangnya sambil membuat pelaburan secara khusus. Nama produk-produk untuk akaun ini
seperti “ Akaun Pelaburan Umum Mudarabah” atau “Akaun Pelaburan Istimewa Mudarabah”
atau “ Akaun Semasa Mudarabah”.
Menurut konsep ini pelanggan bersedia menerima risiko lebih bagi membuka ruangnya bagi
mendapat peratusan keuntungan yang lebih besar sekiranya pihak Bank berjaya melaburkan
wang dengan pulangan lumayan. Kadar peratusan akan di tetapkan di peringkat awal seperti 70
% untuk pelanggan dan 30 % bank, 80/20, 60/40 dan sebagainya.
Satu perkara yang juga amat penting dalam akaun Islam ini adalah, deposit yang terkumpul
hanya akan dilaburkan untuk membiayai syarikat-syarikat yang telah di tapis secara Shariah
oleh pengurusan bank dan majlis Penasihat Shariah Bank. Justeru semua “Shariah-Approved
companies” ini telah di pastikan dengan teliti ketepatannya dari sudut Shariah, justeru semua
keuntungan yang bakal di perolehi adalah harta yang bersih.
RHB Islamic Bank Berhad sebagai contoh, cukup tegas dalam memastikan semua simpanan yang
diperolehi akan digunakan dan dilaburkan ke dalam urusniaga atau syarikat yang benar-benar
selamat menurut Shariah.
Urusan tapisan dibuat secara terperinci, dan perlaksanaannya dibuat dalam suasana
“client-friendly”, iaitu dengan perbincangan yang cukup telus atau “transparent” dengan
“client”. Ia mungkin akan membuat penilaian dari sudut “asset” mahupun “lialibilities” sesebuah
syarikat, tanpa mengira ianya adalah sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Saham atau
tidak. Secara umum penapisan “filter” Shariah berikut biasanya digunakan antaranya :-
i- Industry filtering (membuang syarikat-syarikat yang perniagaan induknya berkaitan
produk-produk haram)
ii- Primary Financial Filters (mengeluarkan syarikat-syarikat yang tahap hutangnya tidak boleh
ditoleransi lagi atau mempunyai “impure interest income” berdasarkan panduan Majlis
Penasihat Shariah )
Pengamalan akaun di Perbankan konvensional amat berbeza, yang mana ia tidak terikat dengan
konsep Shariah, lalu mereka pasti akan menumpukan pelaburan di dalam syarikat yang boleh
memberi pulangan besar tanpa meninjau aspek penerimaan Shariah atau tidak.
Selain itu, pembaca mestilah tidak terkeliru dengan kadar peratusan yang di paparkan oleh
sesetengah akauan Islam mudarabah di sesetengah Bank Islam. Ia hanyalah kadar pulangan
purata menurut prestasi lepas, ia di gelar “indicavtive Rates” atau “kadar andaian dan ramalan”
dan bukannya kadar yang tepat dan mesti diberikan oleh bank, ia di paparkan demi mencapai
keyakinan pelanggan terhadap prestasi pengurusan dan pelaburan Bank.


























