Mahasiswa Memacu Kebangkitan Ummah

Wednesday, July 2, 2008

Malaysia Baru,koruption inflasi

Hidup sederhana, mengawal nafsu peribadi dan hak bersama jadi budaya hidup sederhana, struktur perundangan, kehakiman dan pentadbiran yang bersih daripada penyelewengan kuasa, penyertaan menyerlah wanita sebagai pembuat keputusan politik dan paling penting gaji rakyat yang mencukupi, adalah antara faktor meletakkan Finland sebagai negara paling bersih rasuah di dunia. Duta Finland ke Malaysia, Lauri Korpinen, berkata semua faktor terbabit yang menjadi amalan negaranya sejak dua abad membuatkan negara yang berpenduduk hanya 5.2 juta itu hampir bersih daripada rasuah dan sebarang cubaan ke arah penyelewengan kuasa segera dikesan kerana setiap dokumen tidak pernah dilabel sebagai rahsia. "Masyarakat Finland dan semua institusinya adalah telus dan hampir semua, kecuali beberapa dokumen, adalah tatapan umum. "Perlembagaan Finland menyediakan sistem akses bebas untuk mendapat maklumat dengan peruntukan: 'Dokumen dan rakaman yang dimiliki pihak berkuasa adalah hak umum, kecuali percetakan mereka untuk beberapa alasan khusus dikekang oleh satu akta. Setiap orang berhak memperoleh dokumen dan rakaman awam'," katanya.
Kira-kira 100 peserta yang menyertai forum 'Menguruskan Integriti dan Menangani Rasuah Dalam Semua Sektor (awam, swasta, masyarakat sivil dan politik): Pengalaman Finland di Institut Integriti Malaysia di ibu negara baru-baru ini, kelihatan kagum dengan penerangan Korpinen. Duta itu berkata, asas pertama Finland ialah menyemai nilai asas sejak dari kecil termasuk mengenai hidup secara sederhana, mengawal nafsu peribadi dan hak bersama. Kekuatan utama negara yang menjadi anggota Kesatuan Eropah (EU) sejak 1995 dalam menangani rasuah ialah tindakan mengutuk sebarang usaha ke arah pemusatan kuasa dan mewujudkan jurang sosio ekonomi di kalangan rakyat, dikukuhkan dengan usaha meningkatkan budaya pentadbiran yang menggalakkan kekayaan yang seimbang. "Beberapa kajian menunjukkan hubung kait positif antara darjah kepercayaan yang mendalam di kalangan rakyat dan kadar rasuah yang rendah.
"Pengalaman Finland membuktikan contoh moral cemerlang yang dipamerkan pembuat keputusan dan pegawai tinggi kerajaan adalah penting kepada pembangunan budaya etika pentadbiran. Apabila rakyat melihat pegawai tinggi dalam sesebuah agensi beretika dan bertanggungjawab, mereka hampir pasti mengikut contoh yang baik," kata Korpinen. Di samping itu katanya, nilai 'sifat yang terbaik' seperti bertanggungjawab, jujur dan adil memang sejak sekian lama menjadi amalan sektor swasta Finland yang memang menduduki senarai antara negara dunia paling bersih daripada rasuah. "Kebebasan media massa juga terbukti penting dalam senario ini kerana mereka membentuk sebagai kumpulan pendesak dan pemantau yang paling berkesan. "Media adalah saluran paling penting rakyat Finland, kerana penyelewengan kecil di majlis rasmi juga mempunyai nilai besar dalam media - kadang-kala lebih besar daripada berita penting lain - kerana ia pantas mencetus kemarahan rakyat umum," katanya mengenai peranan media massa Finland dalam usaha membanteras rasuah di negara itu. Faktor kedua ialah struktur perundangan, kehakiman dan pentadbiran yang ketat mengawasi dan mengawal sebarang usaha ke arah penyelewengan kuasa. Korpinen menegaskan, usaha menangani rasuah memerlukan sistem perundangan yang mantap, sistem kehakiman yang telus, penguatkuasaan berkesan dan pengawasan penyelewengan yang proaktif, di samping pengurusan kewangan yang telus. "Canselor Kehakiman dan Ombudsman Parlimen mengawasi tindakan kakitangan kerajaan sehingga ke peringkat tertinggi. Agensi ini diberi kuasa menyiasat tindakan menteri, ketua negeri dan ahli Parlimen. Keberkesanan dan prestasi baik kedua-dua agensi ini adalah penting bagi menghalang sebarang penyelewengan kuasa," katanya. Paling menarik ialah faktor ketiga yang membabitkan penyertaan menyerlah wanita sebagai pembuat keputusan yang dianggap antara punca utama Finland hampir-hampir tiada rasuah. "Menurut kajian Bank Dunia, perwakilan wanita di Parlimen dan pejabat penting kerajaan ada hubung kait dengan kadar rasuah yang rendah dan budaya pertanggungjawaban dalam pentadbiran. Hubung kait ini menunjukkan pentingnya kesaksamaan gender dalam usaha memerangi rasuah," katanya. Satu daripada laporan menyebut Finland adalah negara industri maju yang mempunyai tahap hidup tinggi dan sistem kebajikan terbaik. Satu daripada keutamaan dalam agenda politiknya ialah memastikan wanita menikmati hak dan peluang yang sama. Majoriti wanita Finland (85 peratus) bekerja dan aktif dalam politik. Yang menarik ialah daripada 200 ahli Parlimen, 83 adalah wanita. Lebih menarik ialah Presiden Finland hari ini ialah seorang wanita. Tarja Halonen, menjadi wanita pertama memegang jawatan paling penting itu di Finland. "Wanita memang kumpulan penting dalam pentadbiran Finland. Pada 1906, Finland adalah negara pertama di dunia memberi hak kepada wanita untuk mengundi dan bertanding pilihan raya. Pilihan raya pertama pada 1907, 19 wanita dipilih sebagai Ahli Parlimen dan ia mencatat jumlah tertinggi di dunia. "Finland hari ini mengekalkan kedudukan sebagai negara paling ramai ahli Parlimen wanita. Selain di Parlimen, separuh daripada menteri kabinet Finland terdiri daripada wanita dan satu pertiga ahli majlis perbandaran adalah wanita. "Kuota gender ini telah diguna sepenuhnya bagi memastikan perwakilan yang seimbang dalam semua perkhidmatan awam negara saya," katanya dan mengaku wanita adalah kumpulan terbaik dalam menangani sebarang isu rasuah. Faktor keempat; Finland dalam menangani rasuah ialah memastikan jurang pendapatan tidak keterlaluan di kalangan rakyat dan setiap pekerja menerima gaji yang mencukupi. "Pendapatan tinggi meningkatkan perasaan puas hati terhadap pekerjaan dan sekali gus mengurangkan sebarang keinginan untuk menerima rasuah. Jurang pendapatan yang kecil secara tidak langsung mengekang sebarang perasaan tamak untuk menerima rasuah. "Bagi Finland, amalan ini terbukti berkesan kerana sebarang amalan atau gaya hidup lebih mewah daripada pendapatan diterima akan cepat dikesan. Pernah ada pegawai kerajaan menerima rasuah dalam bentuk percutian ke luar negara bersama keluarga dan ia menjadi berita utama di Finland. Justeru, tidak ada siapa berani mengambil rasuah kerana ia akhirnya hanya akan membawa aib kepada mereka," katanya. Menjawab soalan, Korpinen berkata, sikap benci rasuah ini bermula dari sistem pendidikannya yang menyemai sikap setiap rakyat untuk menjadi rakyat yang bertanggungjawab dan mengamal persamaan hak. "Bukanlah saya kata Finland bebas rasuah sepenuhnya tapi statistik membuktikan ia hampir tidak wujud. Apa yang kami lakukan bukan tugas mudah, ia adalah hasil sistem pentadbiran selama dua abad, warisan daripada penjajahan Sweden yang begitu ketat dengan disiplin birokratnya," kata Korpinen.

0 comments:

PENGHIBUR JIWA...

NYATAKAN SOKONGAN ANDA

NYATAKAN SOKONGAN ANDA
Muat naik logo GMUKM kedalam blog anda

About This Blog

About This Blog

  © Blogger template Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP