Mahasiswa Memacu Kebangkitan Ummah

Friday, July 4, 2008

PM Malaysia Nafi negara Di Ambang Darurat

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, negara berada dalam keadaan selamat serta terkawal dan tiada apa yang perlu dibimbangkan rakyat, walaupun berlaku pelbagai keadaan tidak menentu sejak kebelakangan ini.

Perdana Menteri berkata, keselamatan negara terkawal dan tidak berada dalam keadaan darurat kerana kerajaan tahu apa yang berlaku, manakala rakyat diminta jangan mudah percaya kepada khabar angin yang kini tersebar dengan berleluasa.

Beliau berkata, masalah sekarang terjadi kerana kebelakangan ini fitnah semakin bermaharajalela apabila pelbagai cerita bukan-bukan ditimbulkan hingga rakyat tidak dapat hidup senang.

"(Bagaimanapun) orang kita mudah percaya (khabar angin) dan mereka cepat kelam-kabut... dengar satu cerita mereka percaya, kemudian menokok tambah sendiri hingga akhirnya cerita yang muncul kemudiannya menjadi semakin buruk," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di Bangunan Parlimen, semalam.

Perdana Menteri berkata demikian bagi mengulas perkembangan politik semasa yang dikatakan mencetuskan kebimbangan rakyat, terutama berkaitan latihan bersama tentera dan polis bagi mengekang tunjuk perasaan serta masalah teknikal di Bursa Malaysia sehingga urus niaga digantung semalam.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, tiada sebab untuk rakyat bimbang dengan latihan bersama pasukan keselamatan itu hingga menganggap negara berdepan situasi kecemasan kerana ia hanya koordinasi latihan bersama.

Abdullah berkata, walaupun fitnah berleluasa, terutama yang membabitkan hal ehwal politik dan ekonomi negara, kerajaan tahu apa yang berlaku dan sentiasa mengawal keadaan bagi memastikan negara kekal aman dan selamat.

"Ini adalah kerajaan yang stabil. Tolong percaya kerana pentadbiran dan pelaksanaan projek yang dirancang berjalan mengikut jadual. Cuma bila dalam keadaan tertentu kita berdepan masalah, kita mengawalnya. Jadi, tidak ada masalah yang menjejaskan (kestabilan).

"Rakyat jangan terlalu kelam-kabut dengan apa yang berlaku, jangan percaya sangat pelbagai cerita yang muncul hingga sudah sampai ke tahap mengarut. Saya sendiri yang sudah 35 tahun dalam politik, tidak pernah tengok ini semua berlaku," katanya.

Abdullah berkata, golongan tertentu yang menyebar fitnah mereka-reka pelbagai cerita sehingga turut membabitkan keluarganya.

Perdana Menteri berkata, ada orang menyebar fitnah kononnya mangsa liwat yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah anak angkat keluarga menantu perempuannya.

Mengenai penutupan pasaran saham, Abdullah berkata, ia disebabkan masalah teknikal, justeru Bursa Malaysia perlu memastikan keadaan beroperasi seperti biasa secepat mungkin.

Katanya, keadaan itu bukanlah sesuatu yang positif untuk imej negara dan Bursa Malaysia perlu memastikan kejadian itu tidak berulang.

Perdana Menteri berkata, beliau tidak nampak sebab kenapa pelabur perlu menjual saham mereka kerana keselamatan dan politik negara adalah stabil.

"Saya bukan hendak berada dalam keadaan penafian seolah-olah tiada apa yang berlaku. Tapi kehangatan politik semasa terjadi kerana ada pemilihan Umno tahun ini dan perkara itu sentiasa berlaku setiap kali pemilihan.

"Keadaan Parlimen yang lebih riuh berbanding sebelum ini tidak boleh dianggap sebagai ketidakstabilan politik.

"Sementara perhimpunan yang sering berlaku adalah kehendak Anwar. Rakyat juga yang mahukan perhimpunan, tetapi bila jadi begini (keadaan tidak menentu) semua orang takut. Saya pun hairan kenapa ia terjadi, tapi saya tak mahu buat andaian yang boleh membawa pelbagai tafsiran kepada sentimen pasaran," katanya.



Kazman@co

0 comments:

PENGHIBUR JIWA...

NYATAKAN SOKONGAN ANDA

NYATAKAN SOKONGAN ANDA
Muat naik logo GMUKM kedalam blog anda

About This Blog

About This Blog

  © Blogger template Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP