Mahasiswa Memacu Kebangkitan Ummah
Friday, October 24, 2008
Isu Penuntut Islam IPT
Di Malaysia, mahasiswa Islam telah memainkan peranan mereka yang tersendiri di dalam
mencorakkan kehidupan masyarakat seawal kewujudan universiti pertama di Malaysia.
Gerakan Mahasiswa Islam pada setiap ketika adalah dinamik mengikut suasana persekitaran
dan penyesuaian yang hendak dilakukan mestilah sesuai dengan perubahan zaman.
Namun, apabila modenisasi semakin rancak berkembang di dalam negara kita, maka ia sudah
tentu melahirkan pelbagai cabaran yang perlu dihadapi dan diselesaikan dengan sebaik mungkin
oleh mahasiswa Islam.
Sebelum penulis membincangkan beberapa cabaran modenisasi dan saranan dalam
mendepaninya, kita terlebih dahulu perlu mengetahui matlamat utama mahasiswa Islam.
Hasil daripada beberapa pembacaan, penulis dapat merumuskan bahawa matlamat utama
mahasiswa Islam adalah menjadi hamba Allah dan khalifahNya di atas muka bumi ini dan
bertanggungjawab membina diri dari segi intelektual, spiritual dan jasmani.
Selain itu juga, mahasiswa Islam perlu menjadi penyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada
kemungkaran dan seterusnya menjadi pencetus, penggerak dan pembina tamadun Islam.
Matlamat ini perlu dihayati bersama-sama kerana tanpanya mahasiswa Islam akan kekaburan
haluan dan mudah mengalah dalam memenuhi gerakannya.
Seterusnya, beberapa cabaran yang penulis ingin tekankan dan perlu diberi perhatian oleh
gerakan mahasiswa Islam ialah cabaran modenisasi sekularisme yang telah mewujudkan
kelompok manusia yang mengkesampingkan agama dan menganggap agama sebagai halangan
ke arah mencapai kemodenan dan kemajuan madani.
Mereka menganggap kehidupan di dunia ini tiada kaitannya dengan Tuhan dan Tuhan tidak
boleh dibabitkan dalam kehidupan manusia sama ada dalam mengatur negara, kepimpinan
politik, pengagihan kekayaan, perlaksanaan undang-undang, perlaksanaan ekonomi dan sosial
yang menurut ajaran Islam.
Bentuk sekularisme yang pelbagai ragam ini adalah cabaran dalam era modenisasi dan perlu
ditentang secara menyeluruh oleh mahasiswa.
Keduanya ialah cabaran akhlak dan moral yang semakin rosak dalam masyarakat Malaysia
khususnya kepada golongan remaja ataupun mahasiswa.
Oleh itu, ia perlu diambil perhatian yang serius oleh mahasiswa Islam dengan bekerjasama
dengan pelbagai pihak dalam usaha untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik dalam
menangani fenomena yang mencengkam jiwa remaja masa kini.
Krisis akhlak dan moral ini jika tidak dibendung dengan segera akan memberi impak yang
negatif dalam sesebuah masyarakat dan peradaban ummah.
Seterusnya ialah cabaran ekonomi yang menunjukkan bahawa 70% ekuiti ekonomi negara
dipegang oleh golongan bukan Islam dan kebanyakan teknokrat dan professional adalah terdiri
daripada golongan bukan Islam.
Fenomena ini perlu disedari oleh mahasiswa Islam dan perlu melakukan perubahan dalam diri
untuk meningkatkan keupayaan dalam ekonomi dan bersedia untuk bersaing dengan golongan
bukan Islam.
Ini merupakan beberapa perkara penting yang sempat penulis senaraikan bagi renungan
bersama dan perlu diambil perhatian serius oleh mahasiswa Islam dalam melakukan perubahan
dalam gerakan mahasiswa Islam.
Justeru ,bagi memantapkan gerakan mahasiswa Islam masa kini, satu perkara asas yang perlu
diberi perhatian ialah pentafsiran semula istilah ‘mahasiswa’.
Jika kita lihat dalam konteks masa kini, mahasiswa lebih cenderung merujuk kepada kumpulan
ijazah pertama di universiti iaitu tidak termasuk pelajar-pelajar pra-ijazah dan pelajar-pelajar
lepasan ijazah.
Selain itu, generasi mahasiswa Islam hari ini mestilah mewujudkan hubungan yang baik dengan
ahli-ahli akademik sebagai penjana ilmu di samping menjadi benteng yang dapat
mempertahankan mahasiswa dalam keadaan terdesak.
Satu kekosongan yang amat ketara dalam gerakan mahasiswa Islam hari ini ialah kerendahan
tahap penguasaan ilmu untuk diaplikasikan di luar dewan kuliah.
Masalah ini mempunyai kaitan dengan kelunturan budaya berfikir secara kritis di kalangan
mahasiswa Islam serta kepekaan yang begitu rendah terhadap isu-isu semasa yang berlaku di
dalam negara kita dan di peringkat antarabangsa.
Oleh itu, program-program ke arah membina budaya berfikiran kritis dan meningkatkan
kepekaan mahasiswa perlu diberi keutamaan seperti mengadakan sudut pidato, kongres
mahasiswa, forum, simposium dan kolokium berbanding dengan program-program yang
menjurus kepada hiburan dan kerehatan minda.
Tahap penguasaan ilmu yang rendah ini menyebabkan mahasiswa Islam sering ketinggalan
berbanding dengan kumpulan ahli-ahli politik dan NGO dalam melihat perubahan sosial,
ekonomi dan politik yang berlaku dalam masyarakat dan negara.
Seringkali juga pimpinan mahasiswa Islam ketandusan idea dalam memberikan pandangan
sebaliknya meminjam idea-idea dari kumpulan yang disebutkan di atas.
Fenomena seumpama ini akan melunturkan ketulenan idealisme perjuangan mahasiswa.
Mahasiswa sebegini akan menjadi tidak proaktif sebaliknya reaktif terhadap perubahan yang
berlaku dalam masyarakat dan negara.
Kegagalan generasi mahasiswa Islam kini mengorganisasikan front mahasiswa di peringkat
nasional adalah merupakan salah satu faktor penting yang melemahkan perjuangan mahasiswa
Islam.
Oleh itu, mahasiswa perlu membentuk kesatuan di peringkat nasional dengan pengurusan
organisasi yang lebih tertur. Contohnya ialah dengan menjalinkan hubungan yang rapat dengan
organisasi mahasiswa Islam di setiap universiti seperti mana yang dilakukan oleh Majlis
Perwakilan Mahasiswa yang mempunyai rangkaiannya yang tersendiri di setiap universiti.
Namun fokus utama yang harus diberi perhatian oleh mahasiswa Islam ialah kesatuan organisasi
mahasiswa Islam di setiap universiti yang wujud dalam negara kita.
Ini adalah penting bagi menyatukan kesatuan mahasiswa Islam di bawah satu gagasan dengan
berasaskan kepada matlamat perjuangan yang sama dan selaras dengan konsep Islam Hadhari
yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri kita.
Generasi mahasiswa Islam hari ini juga mestilah mewujudkan satu siri program yang tersusun
merangkumi perancangan jangka pendek dan jangka panjang ke arah melahirkan pimpinan
mahasiswa yang berkredibiliti.
Oleh itu, perancangan ke arah memupuk watak kepimpinan di kalangan mahasiswa pra-ijazah
serta pelajar-pelajar sekolah menengah mestilah digiatkan supaya mereka yang bakal
melangkah ke universiti adalah yang benar-benar memahami idealisme perjuangan gerakan
mahasiswa Islam.
Sebagai kesimpulan, perlu ditegaskan bahawa idealisme perjuangan mahasiswa Islam perlulah
dihayati sepenuhnya oleh mahasiswa dan seterusnya merealisasikannya oleh pucuk pimpinan
mahasiswa dengan penuh berhikmah.
1 comments:
salam...tahniah kerana telah berjaya menulis artikal mengenai mahasiswa ini. sebagaimana yang kita ketahui,jika dilihat mahasiswa sekarang, mereka lebih leka dengan benda-benda yang menghiburkan dan amat jarang sekali kita melihat mahasiswa Islam yang berfikiran kritis dalam melakukan sesuatu kerja.walau bagaimana pun,penulis cuba memberi kesedaran kepada golongan mahasiswa ini supaya mereka sama-sama bangkit semula dari lena mereka...tahniah & syabas diucapkan!!!
Post a Comment